Thread

Hari ini saya menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah mewakili negara di pelbagai rantau strategik dunia. Dalam pertemuan ini, saya menekankan keperluan untuk terus memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara, khususnya dalam menarik perdagangan, pelaburan berkualiti tinggi serta meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi negara secara mampan. Saya turut menyentuh bahawa peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara hatta memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat agar setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna. Malah saya tekankan juga pentingnya usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan mendepani geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks ketika ini. Malaysia akan terus berpegang pada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola yang baik serta pendekatan diplomasi yang berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia. #MalaysiaMADANI #MADANIbekerja #YakinMADANI

Nenhum Voo ainda