Thread

Kebesaran dan kemuliaan Hari Raya Aidiladha pasti merujuk kepada teladan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s atas ujian yang dihadapi, serta memperlihatkan hikmah dan rahsia Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa. Sementalahan, di sebalik ikhtiar dan usaha yang dilakukan kita dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang, pasti ada pengorbanan yang harus menjadi prasyarat. Justeru, pengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara—sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan—punya penekanan dan manifestasi masa hadapan. Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga. Mari bersama renungi Firman Allah SWT: وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي سَيَهْدِينِ ﴿٩٩﴾ رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٠٠﴾ فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ﴿١٠١﴾ فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ Maksudnya: Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar). " Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. (Surah al-Saffat: 99-102) Maknanya, tanpa pengorbanan hidup menjadi tidak bermakna dan gersang nilai. Sesuatu yang dikorbankan adalah sesuatu yang memang menjadi kemahuan manusia—harta, keluarga dan kedudukan. Oleh dengan itu, nilai keikhlasan dan ketakwaan seseorang dapat diukur, yakni semakin berharga sesuatu yang ia korbankan, maka semakin besar pula ketakwaan dan natijahnya. Oleh yang demikian, hikmah menunaikan Haji merupakan antara kurniaan terbesar Ilahi kepada hamba-Nya. Kita mengenang manasik Haji sebagai salah satu rukun Islam. Haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri yang bertujuan memadrasahkan jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana. Tatkala berihram dengan pakaian serba putih dan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira tingkat diri di dalam masyarakat, darjat atau pangkat, lantas membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT. Inilah tonggak kekuatan Haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi garapan yang mendalam, penghayatan dan hidupnya amalan kita. Walhasil, atas iktibar ini saya mengajak umat Islam agar menghayati pesanan kesederhanaan yang dizahirkan dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara. Jangan kita terpesong dari tujuan dan landasan kita. Dunia harus menjadi jambatan utuh ke arah negeri yang abadi dan kekal selamanya. Akhirul kalam, saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh Haji yang mabrur, dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera. اللّٰهُ أَكۡبَرُ، اللّٰهُ أَكۡبَرُ، اللّٰهُ أَكۡبَرُ، وَلِلّٰهِ الۡحَمۡدُ ANWAR IBRAHIM

Nenhum Voo ainda