Thread

anwaribrahim
Pagi ini saya berkunjung ke Kuala Kangsar untuk bertemu guru, anak-anak serta bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford. Di sebalik tekanan cabaran ekonomi akibat krisis tenaga global ketika ini, saya tegaskan bahawa soal pendidikan dan naik taraf kemudahan sekolah tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Dalam lawatan ini, saya tekankan bahawa projek kecil yang menyentuh keperluan harian pelajar, termasuk pembaikan kemudahan asas, mesti disegerakan tanpa berlengah. Keutamaan ini tidak boleh dikompromi walau dalam keadaan krisis, kerana masa depan anak-anak tidak boleh menjadi korban. Namun dalam memastikan keutamaan ini terus dilaksana, kita tidak dapat lari daripada realiti bahawa dunia sedang berdepan krisis tenaga global yang kian meruncing, susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan minyak dan gas serta mencetuskan ketidaktentuan pasaran di seluruh dunia. Tempiasnya turut dirasai di negara kita. Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI terus berikhtiar sedaya upaya memastikan rakyat tidak terbeban, termasuk mengekalkan harga RON95 pada kadar yang rendah serta meneruskan subsidi diesel kepada golongan yang memerlukan, sambil mengimbangi keperluan melindungi rakyat dan menjamin bekalan tenaga negara untuk jangka panjang. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan bahawa pendidikan kita perlu mengutamakan keupayaan berfikir secara kritis, memupuk nilai serta akhlak, di samping menguasai pelbagai bidang ilmu. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, ilmu tanpa nilai boleh memesongkan arah jika tidak dipandu oleh adab dan keinsanan. Dalam kesempatan sama, saya turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM296,000 bagi kerja-kerja baik pulih bangunan hospital pertama di Kuala Kangsar yang kini digunakan oleh SMK Clifford, sebagai usaha memelihara warisan sejarah serta memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah. Insya-Allah, dengan keutamaan yang jelas terhadap pendidikan serta kefahaman dan kebersamaan dalam mendepani cabaran global, kita mampu mengharungi ujian ini bersama-sama, sambil terus membina masa depan negara yang lebih adil, berdaya tahan dan berteraskan nilai. #MalaysiaMADANI #MADANIbekerja #YakinMADANI

Nenhum Voo ainda