Hari ini saya merasmikan Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia, sebuah simbol tekad, hasil keringat dan iltizam seluruh warga sepak takraw negara dalam mengangkat semula martabat sukan warisan kita.
Sepak takraw bukan sekadar permainan, ia adalah identiti bangsa, lambang disiplin, kecekalan dan keindahan seni sukan yang telah lama mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Kita akui, perjalanan ini tidak sunyi daripada cabaran ada jatuh, ada bangun, namun hari ini, kita bangkit dengan azam yang lebih kukuh dan semangat yang lebih menyala.
Kepada anak-anak muda, manfaatkanlah akademi ini sebaiknya. Asahlah bakat, bina jati diri, dan semai semangat patriotik yang tinggi kerana kita mahu melahirkan generasi atlet yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi juga berjiwa besar dalam membawa maruah negara.
Kerajaan akan memastikan kompleks ini menjadi titik tolak kepada era kebangkitan baharu, satu fasa di mana Malaysia kembali digeruni dan disegani dalam arena sepak takraw antarabangsa.
Sebagai tanda sokongan berterusan, saya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memperkasa utiliti latihan, meningkatkan keselesaan akademi serta memperkukuh peranan Persatuan Sepak Takraw.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
#YakinMADANI