Thread

anwaribrahim
Turun ke Sandakan hari ini untuk menyantuni mangsa kebakaran yang kehilangan segalanya dalam sekelip mata. Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam, dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada. Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati. Namun di celah duka yang begitu berat, saya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan. Kerajaan Persekutuan tidak akan sesekali membiarkan mereka sendirian. Sumbangan segera telah dan sedang digerakkan meliputi bantuan wang ihsan untuk keluarga dan pelajar sekolah, keperluan asas, tempat perlindungan sementara serta sokongan berterusan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri. Usaha juga sedang dipercepat bagi memastikan mereka dapat kembali hidup dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak segera kembali ke sekolah. Saya juga sedar, dalam kalangan mangsa ada yang bukan warganegara. Namun dalam saat getir seperti ini, kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan. Kita bantu setakat yang terdaya meliputi makan, minum, tempat berteduh dan keselamatan. Doa saya dan Azizah, serta seluruh keluarga besar Malaysia, bersama mereka. Semoga Allah mengangkat kesedihan ini, menguatkan jiwa yang diuji, dan menggantikan duka ini dengan harapan yang baharu. #MalaysiaMADANI #IhsanMADANI #MADANIbekerja #YakinMADANI

Nenhum Voo ainda