Thread

anwaribrahim
Hari ini saya ke Pulau Pinang untuk lawatan kerja, seraya meraikan ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan di Batu Kawan. Usia lapan dekad ini mencerminkan iltizam warga JPJ dalam memastikan keteraturan dan keselamatan di jalan raya. Dalam memikul amanah yang sentiasa berdepan langsung dengan rakyat, kritikan terhadap JPJ tidak dapat dielakkan. Ada yang lahir daripada harapan menggunung untuk melihat penambahbaikan, dan ada juga yang dipacu sentimen. Namun semuanya harus kita hadam dengan kebijaksanaan. Saya tekankan agar setiap teguran diterima dengan jiwa yang terbuka. Daripadanya kita perbaiki kekurangan, perteguh integriti dan tingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. Saya turut menyentuh perkembangan krisis tenaga yang kian meruncing dan kini merebak menjadi krisis bekalan global. Kesan tempiasnya dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia, dan keutamaan kita saat ini adalah memastikan bekalan kekal stabil serta menampan tekanan kenaikan harga. Kerana itu, Kerajaan MADANI menanggung perbelanjaan tambahan mencecah RM7 bilion sebulan untuk meneruskan subsidi minyak dan diesel kepada rakyat. Di sebalik lonjakan harga minyak dunia, rakyat Malaysia masih membayar RM1.99 seliter untuk RON95, dan sekitar 85 peratus pengguna diesel pada kadar antara RM1.65 hingga RM2.15 seliter. Namun kita akui masih ramai yang terkesan dengan kenaikan harga diesel. Justeru, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel dalam tempoh terdekat. Insya-Allah, selagi ada ikhtiar dan kesungguhan, kita akan terus melangkah bersama, mempertahankan daya tahan negara dan memastikan setiap rakyat tidak dibiarkan sendirian menghadapi cabaran ini. #MalaysiaMADANI #MADANbekerja #YakinMADANI

Nenhum Voo ainda