Thread

anwaribrahim
Enam dekad ulangtahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) harus dilihat tidak semata ulangtahun biasa sebuah institusi, tetapi sebagai cerminan utuh perjalanan panjang sebuah gagasan, serta bagaimana negara memilih untuk menyeimbangkan antara aspek merit, keadilan dan tanggungjawab sosial dalam membina masa depan yang lebih terangkum. Justeru, perbahasan serta wacana panjang tentang ‘affirmative action’ tidak pernah mereda, malah sering mengganas dan acapkali diheret ke gelanggang yang sempit dan simplistik. Kritik seperti ‘tyranny of merit’ yang sering dikaitkan dengan ekonomis Amerika Syarikat Thomas Sowell yang menolak kebergantungan (dependency) kepada dasar sedemikian atas nama persaingan bebas. Pandangan ini tidak boleh diangkat secara mutlak tanpa memberi pertimbangan yang objektif dan yang menggarap realiti. Sementalahan, dalam tradisi pemikiran John Kenneth Galbraith, keadilan sosial tidak sekadar retorik tetapi keperluan yang bersifat struktural dalam memastikan masyarakat tidak terperangkap dalam kitaran peminggiran. Lantas, dasar keadilan mesti diketengahkan, bukan untuk menafikan merit tetapi untuk membetulkan jurang yang telah lama dibiar melebar. Tanpa penekanan yang berprinsip, meritokrasi berisiko menjadi alat dan aparat yang mengabsahkan kesenjangan, jauh sekali menjadi faktor yang menyelesaikan kesenjangan. Sepertimana yang dihujahkan John Rawls melalui gagasan ‘justice as fairness’, keadilan tidak akan bermakna jika sekiranya akses yang saksama tidak dimungkinkan. Bagaimana mungkin kita menuntut persaingan yang setara antara sekolah terbaik di kota dan di bandar-bandar besar dengan anak-anak di Kapit, Manik Urai, Hulu Kelantan atau Hulu Pahang, tanpa terlebih dahulu menjamin peluang yang adil dan asas yang setara? Walhasil, keadilan mesti terjelma dengan peluang yang saksama. MARA akan terus menjadi wahana pemerkasaan, iaitu yang menyemarak legasi pendidikan, keusahawanan, dan mobiliti sosial, agar setiap anak bangsa, tanpa mengira latar dan geografi, mampu bangkit dengan maruah dan daya saing yang mantap. #MalaysiaMADANI #MADANIbekerja #YakinMADANI
1Curtidas
1Responder