Di Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan yang merupakan Daerah keenam yang dikunjungi saya, saya telah menekankan mengenai langkah berjaga-jaga dalam pelarasan pelaksanaan dasar negara terutamanya dalam menangani kesan perang di rantau Teluk dan Asia Barat. Selain itu, pertahanan dan keselamatan negara juga telah dipertingkatkan demi memastikan kesejahteraan Kerajaan dan rakyat.
Berhubung peningkatan kos sara hidup rakyat, Kerajaan giat mengambil pendekatan yang segera dan tuntas dalam memastikan rakyat dilindungi dan dipelihara dalam jangka masa pendek dan juga jangka panjang dari tekanan ekonomi saat ini. Perkembangan ini terus dipantau dan ditangani oleh Kerajaan dari peringkat awal bagi memastikan dampak secara langsung kepada ekonomi negara dapat diminimakan.
Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Pahang dan khususnya Daerah Kuantan hendaklah memberi fokus khusus dan utama bagi memastikan projek-projek kecil dalam Rolling Plan yang telah diluluskan di RMK13 mesti segera dilaksana dan tidak wajar ditangguh agar manfaat projek dapat terus dinikmati rakyat.
Terkait dengan hal ehwal tanah dalam pelaksanaan projek, saya jamin bahawa Kerajaan Persekutuan memberikan penyelesaian yang sebaiknya kepada Kerajaan Negeri bagi terus memudahkan pelaksanaan projek yang telahpun diluluskan peruntukan agar tidak tertangguh untuk tempoh yang lama.
Saya turut diberi taklimat mengenai status dan kemajuan pelaksanaan projek Persekutuan dan juga inisiatif Kerajaan Negeri di Daerah Kuantan merangkumi isu kenaikan harga bahan pembinaan bagi institusi pendidikan seperti sekolah-sekolah, penyelenggaraan saliran bagi kawasan tebatan banjir dan kawasan yang tidak pernah mengalami banjir.
Status kesejahteraan rakyat termasuk miskin tegar, indeks jenayah, Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI, status pembangunan gerai di Daerah Kuantan dan cadangan projek Cakna MADANI juga telah dibentangkan. Selain itu saya menekankan keutamaan peruntukan pembaikan atau meluaskan gerai peniaga-peniaga yang memerlukan di Daerah Kuantan ini bagi meningkatkan tahap ekonomi majoriti rakyat dan tidak hanya menumpukan kepada projek-projek yang besar atau projek mega semata. Pihak Daerah Kuantan dan KPKT mesti memantau keperluan pengusaha dan peniaga di gerai-gerai ini agar mereka dapat melaksanakan perniagaan jual beli dengan lebih selesa dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.
Seperti yang telah saya putuskan di Mesyuarat Jemaah Menteri, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menyegerakan penyediaan tambahan kelas-kelas yang diperlukan untuk murid-murid 6 dan 7 tahun bagi Tahun 1 yang akan memulakan sesi persekolahan pada tahun 2027 termasuk keperluan di Daerah Kuantan.
Saya juga menyeru kepada semua rakyat Pahang dan rakyat di negara ini agar sama-sama berdoa agar negara kita berada di dalam keadaan yang terkawal, dapat bertahan dan mengharungi cabaran ekonomi yang terus menghimpit kita.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#MADANIbekerja
Thread
Nenhum Voo ainda