Petang tadi saya ke Shah Alam untuk mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling, bagi meneliti kemajuan pelaksanaan projek rakyat yang mendesak serta merangka penyelesaian kepada isu berbangkit.
Mesyuarat turut menyentuh soal pengurusan bandar dan sosial termasuk perkara berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi. Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Tumpuan turut diberikan kepada penyenggaraan jalan raya dan kemajuan projek mitigasi banjir. Saya tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan.
Menyentuh usaha membasmi kemiskinan, saya dimaklumkan bahawa kemiskinan tegar telah dinoktahkan di Selangor. Namun pemantauan mesti diteruskan agar tiada keluarga yang tercicir.
Lebih penting, setiap keluarga mesti diberi peluang untuk bangkit, diperkasa melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri. Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat.
Kejayaan program SejaTi MADANI di Petaling wajar diperluas, khususnya dalam membantu golongan miskin bandar. Inisiatif seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, rakyat mampu mencipta perubahan yang bermakna, dengan menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000.
Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat.
#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
#YakinMADANI
Thread
1Curtidas
Nenhum Voo ainda