Malaysia menegaskan komitmen teguh untuk terus memperkukuh kesepaduan ASEAN dalam mendepani tantangan global yang semakin meruncing, khususnya krisis geopolitik yang memberi kesan langsung terhadap aspek keterjaminan tenaga dan makanan serta kestabilan rantaian bekalan serantau. Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 hari ini, saya menekankan bahawa tiada negara mampu menghadapi kemelut ini secara bersendirian, justeru kerjasama kolektif dan perpaduan serantau yang berpaksi pada solidariti ASEAN mesti terus diperkasa.
Malaysia turut menyuarakan dukungan terhadap pemacuan ASEAN Power Grid, pengukuhan mekanisme keselamatan petroleum serantau, serta keperluan memperluas jaringan kerjasama strategik termasuk menerusi ASEAN-GCC-China demi menjamin daya tahan tenaga jangka panjang. Dalam soal keterjaminan makanan pula, ASEAN perlu bertindak lebih tuntas melalui penyelarasan stok kecemasan makanan dan pengukuhan mekanisme simpanan beras APTERR agar rantau ini tidak terus terdedah kepada inflasi makanan dan gangguan bekalan.
Pada masa yang sama, keselamatan warga ASEAN di kawasan bergolak turut menjadi keutamaan bersama. Kita mesti memperhebat perkongsian maklumat, kerjasama diplomatik dan mekanisme tindak balas kecemasan demi melindungi kebajikan rakyat ASEAN di luar negara. Walhasil, ASEAN harus terus kekal sebagai wahana kestabilan, keterangkuman dan daya tahan serantau dalam dunia yang semakin berantakan dan terpecah dengan persaingan geopolitik.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#ASEAN48