Thread

anwaribrahim
Dari Pos Dogoton, saya ke Karakit, pekan yang menjadi nadi kehidupan ribuan penduduk di Pulau Banggi. Sebaik tiba, saya dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi, lokasi sama yang pernah saya kunjungi sekitar 32 tahun lalu. Kunjungan ini menghimbau kembali lawatan saya pada 10 November 1994 untuk meletakkan batu asas dan melakukan pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan SMK Banggi. Hingga hari ini, sekolah ini kekal sebagai satu-satunya sekolah menengah di Pulau Banggi. Saya juga sempat bertemu bekas pengetua SMK Banggi, Cikgu Abdul Kadir Junaidil yang memimpin sekolah ini ketika ia mula membuka pintunya kepada anak-anak Banggi pada tahun 1997. Sebelum sekolah ini diwujudkan, ramai pelajar terpaksa ke tanah besar Kudat untuk menyambung pendidikan. Tidak kurang juga yang terhenti persekolahan kerana kekangan kos dan kesukaran perjalanan. Alhamdulillah, sekolah yang suatu ketika dahulu hanya sebuah tapak kini berdiri megah dan menjadi medan mencorak masa depan pulau terpencil ini. Pertemuan dengan anak-anak yang pernah menimba ilmu di sekolah ini dan telah melangkah jauh dalam kehidupan memberi makna besar buat saya. Semoga anak-anak Banggi terus berjaya, kembali menyumbang kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar kita membangunkan pulau ini demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah. #MalaysiaMADANI #MADANIbekerja #YakinMADANI
1Revoo
1Responder